Langkau ke kandungan utama

3 Cara Gaya Belajar (jadikan saya cepat faham)

 Setiap orang ada 1 gaya belajar yang optimum!

Pautan gambar dari Facebook Nazry Salam

Setiap orang pasti beza cara menghadam maklumat yang diterima dan cara mentafsirkan maklumat. Sebab itu ada ranking dalam kelas dari 1 hingga 10. Macam mana cara supaya kita mudah faham dan termasuk dalam golongan ranking teratas? Mana ada orang yang hanya semata-mata belajar tapi tak mahu faham, bukan?

Kaedah ni menyakinkan saya lagi apabila saya membuat uji kaji ke atas diri sendiri dan ia sepatutnya dipraktikkan sejak awal persekolahan. Sebentar nanti saya akan kongsikan kaedahnya. Segala nota yang saya buat dengan mengikut cara gaya belajar yang betul, menjadikan saya boleh menjawab peperiksaaan dengan baik. Ibaratnya, tanpa tengok nota tu pon saya dah boleh ingat dan faham apa yang pernah ditulis.

Walaupun setiap proses belajar memerlukan masa untuk difahami, namun sekurang-kurangnya sedikit sebanyak ilmu yang dipelajari itu melekat dalam kepala dan bermanfaat untuk masa yang akan datang. Itu sebenarnya erti menuntut ilmu. Bukan hanya sekadar mendapat keputusan yang cemerlang di atas kertas semata-mata.

Dalam perkongsian artikel ini, saya kongsikan 3 kaedah gaya belajar yang perlu diketahui dengan lebih lanjut.

Kaedah pembelajaran VAK merupakan sejenis gaya pembelajaran yang diasaskan oleh ahli psikologi pada tahun 1920. Kaedah pembelajaran VAK terbahagi kepada 3 iaitu Visual, Auditori dan Kinestetik. Daripada 3 kaedah tersebut, seseorang pasti mempunyai 1 kaedah yang sesuai dengan keperibadiannya untuk diadaptasikan. Dengan kata mudah, jalan pintas untuk mengukuhkan kefahaman kita apabila menerima sesuatu maklumat itu sekaligus jalan pintas untuk tingkatkan keyakinan.

Visual : Seseorang yang cenderung visual banyak menggunakan deria penglihatan untuk menyerap sesuatu maklumat itu. Maklumat yang mudah untuk diserap bagi orang visual adalah dalam bentuk carta, gambar, graf dan mudah dingati dengan apa yang dicatat dalam rupa bentuk atau berwarna.

Auditori : Seseorang yang cenderung auditori banyak menggunakan deria telinga untuk menyerap sesuatu maklumat itu. Maklumat yang mudah untuk diserap bagi orang auditori adalah melalui percakapan yang didengari, intonasi dalam penyampaian maklumat dan mudah diingati dengan mengulangi sendiri apa yang diucap.

Kinestetik : Seseorang yang cenderung kinestetik memerlukan pergerakan fizikal atau anggota badan untuk menyerap maklumat. Maklumat yang mudah untuk diserap bagi orang kinestetik apabila melibatkan pergerakan fizikal ketika menerima maklumat. Mereka lebih kepada kefahaman yang praktikal berbanding teori seperti melalui sentuhan atau menggunakan alatan ketika belajar.

Setiap dari VAK tersebut ada ciri kelebihan masing-masing dan mungkin seseorang itu boleh mempunyai setiap percent dari 3 kaedah gaya belajar tersebut. Dengan itu, perlulah kita ketahui terlebih dahulu mana satu cara gaya belajar melalui ujian VAK supaya dapat mengelakkan dari perkara yang boleh menghalang kita dari berputus asa dalam belajar. Sejak dari itu, posisi tempat sewaktu di dalam kelas, akan saya utamakan supaya pembelajaran dapat diterima dengan baik.

Saya telah mengambil ujian VAK pada waktu sekolah dahulu secara fizikal. Tapi saya kongsikan link ujian VAK online dibawah yang seakan-akan mirip untuk dijawab. Ujian ini lebih mudah untuk mengenal pasti kaedah gaya belajar sekaligus dapat mengetahui ciri-ciri dan cara-cara untuk memanfaatkan gaya belajar tersebut.

Ujian VAK :- VAK test online The Bridge

Semoga dengan perkongsian kaedah gaya belajar ini dapat bantu kamu mengenalpasti cara yang terbaik yang boleh digunakan ketika belajar mahupun apa jua keadaan. Jika ada persoalan, boleh komen dibawah atau email secara terus kepada saya. Like dan kongsikan laman ini kepada rakan-rakan atau kenalan terdekat, jika ilmu ini bermanfaat. Terima kasih.



Ulasan