Di universiti bukan hanya menimba ilmu sahaja!
Satu pencapaian yang baik apabila berjaya memasuki universiti seperti yang diimpikan. Namun, ini baru sahaja permulaan baharu untuk melangkah ke arah yang lebih mencabar berbanding waktu persekolahan. Disini tiada lagi peraturan yang tetap dan yang perlu diikuti secara berkelompok seperti jadual kuliah yang selaras, waktu rehat yang singkat, guru yang sama untuk setiap subjek dan kelas.
Tiada lagi nota-nota atau latihan yang disediakan sepenuhnya oleh guru, atau perlu melibatkan diri dalam aktiviti kejohanan sukan secara paksa rela dan sebagainya. Sekarang, di alam universiti terserah dan bergantung kepada diri sendiri. Kita sendiri yang aturkan bagaimana kehidupan yang mahu dibentuk.
Seusai kaki melangkah ke alam universiti, ada pernah terfikir untuk sepanjang tahun pengajian apa yang harus dilakukan? Kenapa harus course ini dipelajari? Adakah course ini dijamin 100% akan merealisasikan cita-cita selepas tamat belajar?
Sebagai bekas pelajar universiti, dalam artikel ini akan saya kongsikan beberapa perkara yang telah saya lakukan sehingga memberikan hasil yang memuaskan untuk waktu jangka panjang dan sekaligus membentuk jati diri mahasiswa yang unggul.
1. Fokus Kepada Impian (‘Goals’)
Memandangkan seorang pelajar universiti seharusnya berdikari, saya mula pelan jangka masa panjang dan jangka masa pendek yang bakal dilakukan sepanjang pengajian. Saya lakarkan setiap perkara yang ingin dibuat sepanjang di universiti dari pelbagai aspek seperti pencapaian akademik, kemahiran teknikal, kemahiran insaniah dan pengiktirafan. Sudah pasti apa yang dilakarkan tidak semua akan dapat dicapai, tapi impian tetap harus ada dan apa yang diingini itu harus dicapai dengan usaha. Secara jujur, hampir 90% apa yang saya impikan, alhamdulillah dapat dicapai apabila fokus dan yakin dengan perkara tersebut.
2. Meneroka Segala Aktiviti
Di universiti lah tempat untuk saya mencuba pelbagai aktiviti yang baharu mahupun yang tersedia. Saya libatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang pada ketika itu saya berfikir tidak mungkin sesuai dengan diri sendiri, sehinggalah dari itu sebenarnya saya dapat mengenali kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Saya dapat asah kekuatan yang ada pada diri saya dan juga membaiki kelemahan pada tahap yang lebih baik. Percayalah, tiada siapa boleh mengherdik atau memperlekehkan untuk kita melakukan kesalahan sebab disini tempat untuk belajar.
3. Bersosial Semampu yang Boleh
Disamping berhijrah ke universiti bagi menuntut ilmu, universiti merupakan tempat untuk saya bersosial dengan kawan-kawan baharu dan juga penduduk setempat. Bagi pelajar baharu sudah tentu tinggal di asrama pada tahun pertama manakala senior kebanyakkannya tinggal di luar kampus. Bergaul dan beramah mesra dengan mereka dapat memberi manfaat kepada diri saya sendiri. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti di dalam kampus mahupun di luar kampus, telah membuka ruang dan minda saya secara meluas. Beramah mesra bersama penduduk juga dapat saya kenali ‘culture’ mereka dengan lebih mendalam sekaligus keselamatan diri terjaga.
4. Pilih Kawan
Apabila masuk universiti, berbagai jenis latar belakang dan perangai orang yang akan kita temui. Tidak semua yang masuk universiti mempunyai impian yang sama, mindset yang sama dan juga kelakuan yang sama dengan kita. Pilihla kawan yang mampu membawa diri kita ke arah impian yang ingin dicapai, yang memberi sokongan dan juga mewujudkan hubungan yang positif. Elakkan untuk terjebak dengan perkara yang tidak membawa manfaat kepada diri dan melalaikan. Penting untuk memilih kawan atau ‘select’ supaya kita tidak jauh tersasar dari fokus asal.
5. Hormat dan Berkawan dengan Pensyarah
Saya sentiasa hadir ke kelas walaupun pada tahun pertama belajar adalah secara atas talian ketika musim Covid-19 dan kekal hadir sehingga bertemu secara fizikal. Mungkin ada beberapa subjek yang kurang faham ketika di dalam kelas menyebabkan mood untuk belajar kurang bersemangat. Tapi perkara tersebut saya ganti dengan menjadikan pensyarah sebagai kawan. Saya akan bertanyakan perkara yang kurang jelas itu secara temujanji mahupun secara terus di dalam kelas. Dalam masa yang sama, pensyarah boleh menjadi mentor untuk membimbing dan mengharungi kehidupan di universiti. Banyak nasihat dan tunjuk ajar diberikan oleh pensyarah telah saya aplikasikan dalam kehidupan sehingga sekarang.
6. Bijak Menguruskan Masa
Memang tidak dinafikan tujuan untuk masuk ke universiti adalah belajar dan pulang dengan kejayaan. Tapi saya beranggapan bahawa akademik semata-mata tanpa melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum tidak menjadikan diri sebagai mahasiswa yang unggul. Apa beza kita sebagai seorang mahasiswa berbanding dengan kawan lain selepas bergraduan? Ramai pelajar terlepas pandang dengan perkara sebegini. Pengurusan dalam mengimbangkan masa antara akademik dan kokurikulum perlu diatur dengan sebaiknya. Nanti bila dah keluar universiti, pengalaman dalam penglibatan aktiviti dan pencapaian akademik yang baik antara faktor yang dapat memenuhkan resume bagi mendapatkan pekerjaan.
7. Buat Part-time
Bagi menampung sumber kewangan, sesetengah pelajar ada yang buat part-time sebagai pendapatan sampingan. Banyak kerja part-time yang boleh dibuat malah memberikan hasil yang lumayan untuk menampung kos belajar di universiti. Yang penting, tidak mengabaikan pelajaran. Bukan mudah untuk mengadaptasikan belajar sambil kerja part-time pada awalnya, tapi lama-kelamaan perkara ini dapat mematangkan diri kita ke arah yang lebih baik. Terpulang kepada keupayaan individu sendiri sebab itu adalah pilihan masing-masing.
Berikut merupakan antara perkara yang pernah saya lakukan ketika zaman di universiti. Setiap jalan cerita masing-masing adalah berbeza dan semoga apa yang dikongsikan dapat memberi manfaat. Jika ada persoalan, boleh komen dibawah atau email secara terus kepada saya. Like dan kongsikan laman ini kepada rakan-rakan atau kenalan terdekat, jika ilmu ini bermanfaat. Terima kasih.
Ulasan
Catat Ulasan